CEDERA ringan akibat kemalangan bukanlah halangan buat pelakon Alif Satar untuk meneruskan misi Geng Subuh Macam Jumaat pada 1 Januari ini.
Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar, menganggap insiden motosikal terbabas akibat cubaan mengelak kenderaan lain itu hanyalah sebagai ujian kecil.
“Alhamdulillah, Allah uji sikit saja… Dah ‘check up‘ dengan doktor di KPJ Tawakal semalam, semuanya baik.
“Tidak ada yang patah, masa jatuh kepala sakit dan pening, jadi takut juga ada yang serius.
“Tapi doktor beritahu tiada gegaran. Syukur cuma badan sakit-sakit (semoga buat penghapus dosa),” katanya dalam hantaran Instagram.
Dalam hantaran yang sama, pelakon berusia 33 tahun itu, sempat mengajak pengikutnya untuk menunaikan solat Subuh berjemaah pada pagi tahun baharu.
“Insya-Allah dengan cukup rehat, masih boleh jemaah subuh bersama pada 1/1/2024 di Masjid Saidina Umar, Bukit Damansara,” tulisnya.
Malah bapa kepada tiga anak itu turut menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan serta keselamatan dirinya.
Semalam, Alif terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal dalam perjalanan ke rumah ibu bapanya di Hartamas, Kuala Lumpur.
Kejadian sekitar pukul 4.30 petang pada Jumaat terjadi apabila sebuah kereta memasuki lorongnya secara mengejut hingga menyebabkannya hilang kawalan dan terjatuh di bahu jalan.