HomeHiburanAllah beri saya 3.4 juta pengikut, takkan nak ajak bersenam saja? -...

Allah beri saya 3.4 juta pengikut, takkan nak ajak bersenam saja? – Alif Satar

KUALA LUMPUR : “Kalau solat Subuh berjemaah pun susah nak buat, jangan sembang pasal nak lawan Zionis.”

Kata-kata seorang ustaz dalam satu kelas agama dihadirinya itulah membuatkan penyanyi dan pelakon popular, Alif Satar memulakan kempen memberi galakan kepada orang ramai menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid sejak hampir sebulan lalu.

Tanpa disangka, kempen dengan tanda pagar #GengSubuhMacamJumaat mendapat sambutan banyak pihak termasuk pihak universiti dengan menggunakan tanda pagar sama.

Alif berkata, semuanya bermula berkait rapat dengan konflik di Gaza, Palestin ketika ini.

“Saya pergi ke kelas agama, kemudian ada orang bertanya kepada ustaz yang mengajar, bagaimana kita nak menang (melawan Zionis).

“Kemudian, ustaz itu bertanya, kau pergi solat Subuh tak? Orang itu cakap, tidak sebab takut mengantuk. Ustaz itu cakap, kalau mengantuk pun takut, nak sembang pasal lawan Zionis? Kena betulkan yang itu dulu.

“Ada hadis Rasulullah SAW mengatakan, sungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jika mereka mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.

“Terus, saya rasa ‘tertembak’,” katanya kepada Harian Metro.

Alif berkata, teguran itu umpama membawa satu pandangan baru buatnya di mana dia ingin meluruskan jalan amalannya.

“Saya fikir, sudahlah saya baru balik dari menunaikan haji. Saya selalu suruh orang pergi bersenam jam 5.30 pagi, kemudian barulah pergi menunaikan solat Subuh.

“Kenapa saya tak betulkan keutamaan saya sendiri? Saya rasa, misi saya pun salah. Rupa-rupanya saya kena luruskan dulu diri saya dan semua perkara akan ikut lurus di jalan yang betul,” katanya.

Alif berkata, dia tidak pernah untuk membuat kempen atau gerakan, tetapi cuma mahu mengubah dirinya dan dia tidak mahu menjadi munafik.

“Saya lantang bersuara mengenai solidariti dan sebagainya, tapi benda yang patut diutamakan (solat Subuh berjemaah di masjid), saya tak buat pula. Itu yang buatkan saya rasa saya perlu bertindak,” katanya.

Siapa sangka, aktivitinya itu mula mendapat sambutan sehingga ada komuniti-komuniti kecil yang turut menunjukkan sokongan mereka.

“Saya rasa sangat bersyukur apabila dapat menggunakan platform yang saya ada. Saya seru orang yang sebelum ini mengikut saya bersenam untuk bertukar sedikit dan kita solat Subuh berjemaah terlebih dahulu.

“Selepas itu, orang dah mula ‘tag’ saya di media sosial. Benda ini (solat Subuh berjemaah di masjid) sebenarnya, dah ramai pun buat, malah lagi awal dari saya,” katanya.

Mencabar diri untuk beristiqomah, Alif berkata, dia menyeru orang ramai berjemaah Subuh di masjid di kawasan masing-masing.

Buat masa ini, Alif menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid kawasan tempat tinggalnya selain turut merancang untuk pergi ke masjid-masjid lain dan mengajak orang ramai.

“Nak istiqomah itu yang agak mencabar. Tapi, kita kena buat untuk diri kita sendiri. Alhamdulillah, saya dapat sokongan juga daripada komuniti di masjid. Malah, ada rakan-rakan artis lain juga yang ingin turut serta.

“Selalunya, satu saf saja, sekarang dah jadi dua saf. Ada peningkatan. Ada sekali di hujung minggu saya ajak orang-orang yang turut serta untuk berjumpa di masjid.

“Selepas itu, orang di masjid maklumkan, malam sebelum itu pun dah ada orang yang tidur di masjid menunggu waktu Subuh,” katanya.

Alif berkata, dia akan terus menggunakan platform media sosialnya ke arah kebaikan.

“Kadang-kadang, kita diberikan pengikut, dan disertakan dengan tanggungjawab. Saya pun takut, kalau esok Allah nak soal, dia dah berikan 3.4 juta pengikut sekadar untuk ajak bersenam saja?” katanya. – Harian Metro

Authors

Pilihan Editor