“TAK guna kalau bergelar rakyat Malaysia kalau tak tahu bertutur bahasa Melayu.”
Wajib fasih berbahasa Melayu, itu penegasan pengacara Uyaina Arshad, 31, menegur segelintir rakyat negara ini yang tidak boleh bertutur Bahasa Kebangsaan.
Uyaina menerusi akaun X berkata, bahasa Melayu antara bahasa paling mudah di dunia untuk dipelajari.
“Tidak ada ‘gender’ dan tiada kata ganti nama yang berbeza untuk lelaki dan perempuan seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan bahasa Arab.
“Bahasa Melayu cukup indah dan mudah untuk dipelajari.
“Kalau sebagai rakyat Malaysia pun awak enggan belajar untuk fasih Bahasa Kebangsaan, jangan terasa kalau ada yang marah dengan awak,” katanya.
Tegasnya, setiap rakyat negara ini harus untuk mahir bertutur Bahasa Kebangsaan walau merantau ke setiap pelosok dunia.
“Pergilah ke negara mana sekalipun, rakyat Malaysia wajib tahu bercakap dalam bahasa Melayu.
“Tidak kiralah berapa banyak bahasa lain awak mahir, tak ada gunanya kalau sebagai rakyat Malaysia awak tak tahu bahasa Melayu,” ujarnya.
Sementara itu, pengacara Vokal Mania turut menasihatkan mana-mana individu yang kurang fasih untuk mendaftar ke mana-mana kelas bagi memantapkan lagi bahasa Melayu.
“Bahasa merupakan satu bahagian penting dalam sesebuah masyarakat, apatah lagi jika melibatkan kenegaraan anda.
“Tanpa mengira latar belakang pendidikan, sekiranya anda tinggal di negara ini selama 20 tahun dan masih tidak boleh bercakap bahasa tersebut (dan berasa bangga tentangnya) dan perkara itu menunjukkan siapa anda sebenarnya.
“Anda hanya bersikap angkuh. Nasihat saya, pergi hadir ke kelas bahasa Melayu dan jadi rakyat yang lebih baik,” jelasnya.
Terdahulu, tular tangkap layar luahan seorang wanita yang mendakwa dia dan anaknya dibuli serta dimarahi ketika hadir ke sebuah pejabat kerajaan kerana tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.
Kongsi wanita tersebut, dia yang merupakan rakyat negara ini tidak fasih berbahasa Melayu kerana bersekolah di Singapura.
Bagaimanapun, perkongsian tersebut meraih kecaman daripada netizen yang menyifatkan individu yang memiliki kewarganegaraan wajib mahir bertutur bahasa Melayu.