HomeBeritaAziz Bari nafi pilihan raya PBT hilangkan kuasa Melayu

Aziz Bari nafi pilihan raya PBT hilangkan kuasa Melayu

CYBERJAYA: Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari menafikan orang Melayu akan kehilangan kuasa susulan langkah mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sebaliknya, Abdul Aziz berkata, kaum tersebut berkemungkinan akan mendapat manfaat hasil daripada cadangan terbabit.

Justeru, tegasnya, pemimpin Melayu yang mengeluarkan kenyataan menentang idea itu harus berhenti menakutkan kaum tersebut sedemikian rupa.

“Jika ia dilakukan dengan betul, orang Melayu mungkin mendapat manfaat daripada pilihan raya PBT dan bukannya kehilangan kuasa.

“Negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mungkin melihat majlis tempatan yang dikuasai orang Melayu, senario itu juga berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.

Tambahnya, langkah itu juga merupakan satu cara untuk menangani aduan akar umbi berhubung perkara yang menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Jelas beliau, pilihan raya umum pertama pada tahun 1955 berakar umbi daripada pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur yang diadakan tiga tahun sebelumnya.

Terdahulu, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan kerajaan supaya memulakan pilihan raya PBT di bandar raya Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

“Kita tidak perlu untuk terus melaksanakan pilihan raya tempatan di seluruh negara, tetapi kita boleh mula di Kuala Lumpur yang sangat-sangat memerlukan demokrasi dalam proses merakyatkan sistem pentadbiran ibu negara kita ini.

“Dengan pelaksanaan pilihan raya PBT sudah lama tertangguh, prinsip ‘tiada cukai tanpa perwakilan’ perlu ditegakkan demi memastikan keberkesanan, bersih, dan kerajaan berorientasikan rakyat dan menjadikan Kuala Lumpur bandaraya bertaraf dunia yang kita semua banggakan,” katanya.

Author

Pilihan Editor