KETIADAAN bekalan elektrik menjadi realiti kehidupan di Gaza yang diserang Israel. Tetapi terima kasih kepada kad SIM siap dipasang (embedded SIM), sesetengah rakyat Palestin masih boleh mengakses internet dan mengekalkan komunikasi dengan orang tersayang di luar negara.
“Tanpanya, kita akan terpisah dari dunia,” kata Hani Al Shaer, seorang wartawan tempatan yang bergantung pada kad eSIM untuk melakukan penstriman langsungnya.
“Dan tiada siapa yang akan tahu apa yang berlaku di Gaza,” katanya pada Selasa, sebaik sahaja wilayah yang dikepung mengalami siri kerosakan telekomunikasi yang terbaharu sejak perang bermula, lapor AFP.
Serangan Israel sejak 7 Oktober menyebabkan sebahagian besar Gaza berada dalam runtuhan dan membunuh sekurang-kurangnya 20,915 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Palestin.
Human Rights Watch (HRW) memberi amaran bahawa gangguan telefon dan internet di Gaza boleh melindungi kekejaman dan mengelakkannya daripada dihukum di samping menjejaskan usaha kemanusiaan dan membahayakan nyawa.
Idea mudah
Idea di sebalik eSIM adalah mudah: ia adalah perisian untuk cip yang secara tradisinya dimasukkan ke dalam telefon untuk disambungkan ke rangkaian selular dan internet.
Siap dipasang terus ke dalam peranti, ia boleh diaktifkan menggunakan kod QR, yang diterima penduduk Gaza daripada ahli keluarga yang tinggal di luar negara.
Penduduk Gaza kemudiannya boleh menyambung dalam mod perayauan ke rangkaian asing – selalunya kepunyaan Israel atau kadangkala Mesir.
eSIM menjadi satu anugerah, kata Samar Labad.
Wanita berusia 38 tahun itu meninggalkan rumahnya di Bandar Gaza ke selatan, di mana puluhan ribu penduduk Palestin yang diusir dari kediaman mereka tinggal di kem sementara.
Kini di Rafah, dia terputus hubungan dengan keluarganya selama lebih seminggu. Tetapi kemudian abangnya – yang tinggal di Belgium – menghantar eSIM kepadanya.
“Sambungannya tidak stabil, tetapi ia dikira berjaya,” katanya.
“Sekurang-kurangnya kita boleh terus berhubung untuk menenangkan satu sama lain, walaupun sekejap-sekejap.”
Orang-orang yang dia sayangi kini berada di Khan Younis.
“Saya mengetahui keadaan mereka daripada seseorang yang tinggal bersama mereka, yang telefonnya boleh menggunakan eSIM,” katanya.
Perkhidmatan itu hanya tersedia di kawasan berhampiran sempadan dengan Israel. Jika tidak, anda perlu naik ke atas bumbung untuk mendapatkan isyarat.
Mencari mangsa perang
Ibrahim Mukhaimar, yang memiliki kedai telefon bimbit berkata, pelanggan utamanya adalah wartawan yang menggunakan eSIM untuk memberikan dunia luar laporan yang tepat mengenai situasi di Gaza.
Menurutnya, mereka memberitahu bahawa terdapat kekurangan barangan asas yang diperlukan untuk terus hidup di wilayah yang dikepung.
Pelanggan eSIMnya juga termasuk doktor dan kakitangan pertahanan awam yang ingin mengetahui lokasi sebenar serangan untuk membantu orang ramai, kata Mukhaimar.
Kakitangan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin, UNRWA, juga menggunakannya untuk menganjurkan konvoi bantuan.
Walaupun kad eSIM membantu mengimbangi gangguan telekomunikasi, akses internet masih diperlukan untuk mengaktifkannya.
“Harga yang ditawarkan berbeza-beza, dari 15 hingga 100 dolar, bergantung pada tempoh sahnya,” kata wartawan video Yasser Qudieh.
Menurutnya, wartawan tempatan yang mempunyai eSIM akhirnya menjadi pembawa pesanan untuk orang lain.
“Ramai ekspatriat menghubungi kami untuk mengikuti berita terkini dari Gaza dan mendapatkan maklumat berhubung keluarga mereka,” katanya. – TRT