SEBUAH sarkas yang membenarkan kanak-kanak menunggang harimau untuk bergambar diarah tutup serta-merta, selepas mengundang kecaman ramai.
Video mengenai aktiviti berbahaya itu dirakam pada 6 Disember lalu itu memaparkan, kanak-kanak diletakkan di atas badan haiwan buas tersebut.
Dalam video sama, harimau tersebut dilihat berbaring di atas bingkai logam dengan kaki belakangnya diikat.
Namun, kaki depan dan ekor harimau itu yang masih bergerak menimbulkan kebimbangan.
Pada masa sama, seorang lelaki dilihat duduk di atas kerusi di hadapan haiwan terbabit, sambil merakam interaksi harimau berkenaan dan kanak-kanak terlibat.
Bukan itu sahaja, ramai kanak-kanak dilihat teruja beratur untuk menunggu giliran menaiki ‘pak belang’ berkenaan.
Lapor South China Morning Post, pelanggan hanya perlu membayar sebanyak 20 yuan (RM13) bagi mendapatkan khidmat bergambar bersama haiwan itu di Tiandong, dekat wilayah Guangxi, selatan China.
Sementara itu, Biro Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan memaklumkan bahawa, sarkas itu beroperasi tanpa sebarang permit.
Susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan notis menuntut penutupan premis serta-merta dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendalinya.
Pada April 2020, sebuah zoo di wilayah Yunnan, dekat barat daya China menganjurkan aktiviti ‘memancing harimau’, yang mana pengunjung boleh menjuntaikan kepingan daging bagi menarik perhatian haiwan itu.
Namun, kekurangan sistem keselamatan menyebabkan kebimbangan orang ramai mengenai aktiviti terbabit.