HomeGlobalBekas wartawan TV bertanding pilihan raya menentang Putin

Bekas wartawan TV bertanding pilihan raya menentang Putin

MOSCOW: Bekas wartawan TV Yekaterina Duntsova mengemukakan namanya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden Rusia pada Mac tahun depan.

Duntsova, 40, sebelum ini banyak menggesa untuk menamatkan konflik di Ukraine dan pembebasan tahanan politik termasuk Ketua Pembangkang, Alexei Navalny.

Beliau menyerahkan dokumen kepada pegawai di Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat untuk memasuki pilihan raya secara rasmi.

Duntsova kini menghadapi halangan besar untuk mendapatkan 300,000 tandatangan bagi menyokong pencalonannya dari seluruh Rusia menjelang 31 Januari.

Putin, 71, telah berkuasa sebagai presiden sejak 1999 dan sedang memburu penggal enam tahun lagi.

Dengan Navalny menjalani hukuman penjara lebih 30 tahun dan pengkritik terkemuka Kremlin lain berada di penjara atau di luar negara kerana risiko penangkapan, tidak ada tokoh pembangkang yang mantap untuk mencabarnya.

Penyokong Navalny menyifatkan proses itu sebagai palsu dan mendakwa Kremlin melalui suruhanjaya pilihan raya mengawal siapa yang boleh bertanding dan boleh memanipulasi undi dengan mudah jika perlu dengan bantuan sistem pengundian elektronik.

Kremlin berkata, Putin akan menang kerana dia menikmati sokongan orang ramai dengan penilaian tinjauan pendapat sekitar 80 peratus.

Putin mengumumkan awal bulan ini bahawa beliau akan bertanding namun tiada calon lain yang secara rasmi memohon setakat ini.

Mereka yang disokong oleh parti politik hanya memerlukan 100,000 tandatangan. – Astro Awani

Authors

Pilihan Editor