DALAM satu kenyataan pada Khamis, Hamas menjawab dakwaan pegawai tertinggi Israel bahawa mereka telah mengepung rumah Yahya Sinwar di bandar Khan Yunis, di selatan Genting Gaza.
Sinwar ialah pemimpin Hamas di Gaza, orang yang telah difitnah Israel selama bertahun-tahun dan dianggap sebagai sasaran utamanya dalam tindak balas yang paling memusnahkan terhadap operasi 7 Oktober yang dijalankan oleh pejuang Hamas di selatan Gaza.
“Semalam saya berkata bahawa pasukan kita boleh sampai ke mana-mana di Genting Gaza. Kini mereka mengepung rumah Sinwar. Jadi rumahnya bukan kubunya, dan dia boleh melarikan diri, tetapi hanya menunggu masa sebelum kita mendapatkannya,” kata Netanyahu pada Rabu.
Netanyahu membuat pengumuman itu dengan rasa kemenangan yang terserlah, untuk dicatat sebagai kemenangan tentera Israel, walau secara simbolik dalam apa yang kelihatan sebagai perang sia-sia terhadap Hamas dan kumpulan pejuang Palestin lain di Gaza.
‘Kemenangan’ itu, bagaimanapun, tidak lama, malah Perbadanan Penyiaran Israel (KAN), sendiri mencabar dakwaan Netanyahu.
Ternyata, rumah Sinwar tidak dikepung, kerana rumah itu sudah tidak wujud.
“Usaha tentera penjajah untuk mencapai kemenangan ilusi melalui pengumuman Netanyahu mengepung rumah pejuang Yahya Sinwar yang dibom dan dimusnahkan semasa Pertempuran Saif Al-Quds pada 17 Mei 2021, tidak lain hanyalah mengejar ilusi dan fatamorgana,” menurut kenyataan Hamas.
Hamas menyifatkan dakwaan Netanyahu sebagai cerminan “kegagalan musuh untuk mencapai sebarang pencapaian atau objektif dalam matlamat agresifnya terhadap rakyat kita dan penentangan mereka.”
Kenyataan itu seterusnya mengingatkan Israel tentang “gambar tersohor Sinwar sedang duduk di atas sofa di atas runtuhan rumahnya.”
Nah, nampaknya rumah yang sama itu tidak pernah dibina semula. Ini bukan sahaja mempersendakan dakwaan Israel, tetapi juga andaian Israel bahawa Sinwar tidak berada di rumah pada masa operasi ketenteraan itu berlaku.
“Israel mencipta sasaran rekaan untuk mendapat kemenangan rekaan, seperti yang dilakukan sebelum ini dengan Hospital Al-Shifa, dan kini dengan rumah Sinwar yang dirobohkan,” kata kenyataan Hamas. – The Palestine Chronicle