HomeBeritaCalon SPM maut dilanggar Ativa

Calon SPM maut dilanggar Ativa

IPOH: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang masih lengkap berpakaian sukan sekolah maut di tempat kejadian selepas diseret kereta lebih lima meter, lapor Kosmo pada Jumaat.

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah di SMK Jati dengan menunggang motosikal jenis Yamaha.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas pemandu kereta jenis Perodua Ativa berusia 44 tahun tidak berpuas hati dengan tindakan remaja itu membuat bunyi bising ekzos sebelum bertindak mengejar motosikal mangsa dan melanggarnya dari belakang.

Saksi kejadian memaklumkan, pemandu kereta itu berpatah balik ke lokasi untuk melihat keadaan mangsa, namun segera beredar apabila menyedari kehadiran orang awam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Author

Pilihan Editor