HomeGlobalDakwa cedera ditumbuk Tyson, lelaki tuntut ganti rugi RM2.1 juta

Dakwa cedera ditumbuk Tyson, lelaki tuntut ganti rugi RM2.1 juta

SEORANG lelaki menuntut pampasan kewangan selepas mendakwa dirinya cedera ditumbuk legenda tinju, Mike Tyson pada April 2022.

Sebelum ini, video tular memaparkan Melvin Townsend ditumbuk secara bertubi-tubi oleh Tyson, selepas didakwa membuat provokasi terhadap bekas juara heavyweight dunia tersebut di dalam sebuah kapal terbang.

Seorang peguam yang mewakili Townsend menghantar notis saman kepada peguam Tyson, berikutan kecederaan dan kemudaratan yang dialami anak guamnya ketika menaiki  penerbangan dari bandar San Francisco menuju Florida.

Menurut akhbar New York Post, pampasan yang dituntut itu berjumlah AS$450,000 (RM2.10 juta).

“Sebagai bekas juara heavyweight yang tidak dipertikaikan, potensi (tumbukan Tyson) untuk menyebabkan kecederaan teruk kepada orang lain tidak dapat dinafikan,” kata peguam bela Townsend, Jake Jondle dalam tuntutan undang-undang tersebut. 

Tangkap layar video memaparkan aksi Tyson ketika menumbuk Townsend dalam kejadian pada April 2022.

Surat daripada peguam itu mendakwa bahawa, Townsend teruja untuk bercakap dengan Tyson kerana dia seorang peminatnya.

Namun, perbuatan tersebut bertukar menjadi pergaduhan yang kemudian dirakam oleh penumpang lain.

Jondle berkata, Townsend mengalami sakit kepala dan leher yang teruk akibat kejadian itu.

Sebelum ini, anak guam Jondle itu pernah disabitkan dengan kes penipuan, kecurian, pecah rumah dan tuduhan lain pada masa lampau.

Author

Pilihan Editor