SEORANG wanita tergamak mendera ibu mentuanya dalam kejadian di Kollam, dekat Kerala, India baru-baru ini.
Lebih teruk, wanita itu turut mengajar anaknya melakukan perbuatan kejam tersebut terhadap warga emas yang tidak berdaya dan selayaknya dihormati.
Menerusi video tular, wanita itu pada mulanya mengarah anaknya untuk memukul wanita warga emas berkenaan ketika berada di ruang tamu kediaman mereka.
Tidak terhenti setakat itu, wanita berkenaan kemudian menolak ibu mentuanya yang sedang duduk di atas kerusi sehingga tersembam ke atas lantai.
Pada masa sama, wanita tua itu dilihat sedaya upaya untuk bangkit, meskipun dengan keadaan termengah-mengah dan mengaduh kesakitan.
Dia kemudian diarah oleh seorang lelaki dipercayai anaknya untuk tidur di dalam sebuah bilik.
Selepas video berkenaan tersebar, pihak polis sudah mengambil tindakan dan menahan wanita yang dituduh melakukan penderaan itu, lapor India Today.
Video itu turut dikongsikan oleh aktivitis India, Deepika Narayan Bhardwaj, yang menuntut tindakan terhadap tertuduh.
Menjengah ke ruangan komen di laman X, rata-rata pengguna media sosial mengecam perbuatan wanita itu yang bukan sahaja tidak menghormati warga emas, malah turut mendidik anaknya dengan cara salah.
Tulis @anssufi: “Kau tunggu bila kau tua nanti anak kau pula buat dekat kau.”
Tambah @faezminhad: “Baguslah ajar anak kau buat macam tu. Nanti budak tu dah besar biar dia hentak kau guna dumbbell lepas tu dia baling tong gas! Puas.”
Ujar @BilliBear3: “Anak-anak dia yang nampak perbuatan dia ini akan buat yang sama kepada dia bila dia tua nanti.”