HomeHiburanDulu bangun 5 pagi 'exercise', sekarang Alif Satar Subuh di masjid

Dulu bangun 5 pagi ‘exercise’, sekarang Alif Satar Subuh di masjid

CYBERJAYA: Baru-baru ini, penyanyi dan pelakon, Alif Satar menerusi video di TikTok telah mengajak pengikutnya untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.

Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar, 33, meluahkan rasa terujanya apabila usahanya mengajak orang ramai menunaikan solat Subuh  berjemaah di masjid seperti solat Jumaat mendapat sambutan positif.

Menurut Alif, pada awalnya dia terdetik untuk memperbetulkan diri sendiri selepas terkesan dengan ceramah seorang ustaz semasa mengikuti sebuah kelas agama.

“Dalam kelas itu, ada yang tanya macam mana nak lawan tentera Zionis? Kemudian ustaz itu tanya kembali, solat Subuh di rumah atau di masjid? Individu itu jawab dia solat di rumah kerana takut mengantuk.

“Jadi ustaz itu jawab kalau mengantuk pun takut, macam mana nak lawan tentera Zionis? Kemudian ustaz itu kongsi hadis yang saya tidak pernah dengar iaitu waktu paling berat buat si munafik adalah Isyak dan Subuh.

“Bila dengar itu, rasa terkesan sebab saya ajak pengikut Instagram bangun awal dan mulakan dengan senaman jam 5.30 pagi sebelum buat rutin lain.

“Walhal sepatutnya kena mulakan dengan Subuh. Jadi inisiatif itu sebenarnya untuk betulkan diri saya juga, bukan terfikir satu gerakan,” katanya seperti dilapor Awani.

Tambah penyanyi Lelaki Seperti Aku itu, dia terkejut apabila ramai yang turut serta menunaikan solat Subuh di masjid kariah masing-masing.

Malah Alif turut teruja apabila usaha itu dapat sokongan kariah masjid di tempat tinggalnya.

“Ramai tag saya, daripada budak universiti sehinggalah ke Turki. Kami guna tanda pagar #GengSubuhMacamJumaat.

“Malah di masjid berhampiran rumah saya pun, kalau sebelum ini hanya satu saf setengah yang penuh, kini sudah lebih dua saf jemaah yang hadir untuk solat Subuh.

“Saya harap perkara ini berterusan kerana dalam kita bersolidariti untuk Palestin, kita kena juga betulkan diri sendiri,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor