HomeHiburanIbnor Riza meninggal dunia

Ibnor Riza meninggal dunia

CYBERJAYA: Dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian penyanyi legenda, Ibnor Riza pada petang Ahad.

Ibnor Riza atau Ibnor Riza Ibrahim yang terkenal dengan lagu ‘Mimpi Yang Tak Sudah’ menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM), Kuala Lumpur jam 3.30 petang.

Khabar duka itu dikongsikan rakan artisnya, Datin Salwa Abdul Rahman melalui hantaran di Instagram.

“Sahabatku sudah tiada. Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Awal bulan ini, Ibnor Riza dilapor ditidurkan bagi membolehkan pembedahan dilakukan bagi mengeluarkan cecair di kepalanya.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh penyanyi, Nizam Laksamana menerusi perkongsian pada Facebook.

Nizam memberitahu, isteri Ibnor memaklumkan bahawa suaminya menjalani pembedahan pada jam 9 malam pada 2 Disember.

Pada 19 Februari lalu, Ibnor yang turut popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson selepas pengsan di rumah.

Sebelum itu, Ibnor diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain yang teruk.

Author

Pilihan Editor