HomeGlobalIngatkan kucing, rupanya harimau yang 'lepak' atas tembok

Ingatkan kucing, rupanya harimau yang ‘lepak’ atas tembok

 

SEEKOR harimau betina tersesat ke sebuah perkampungan di daerah Pilbihit di Uttar Pradesh, melompat ke atas tembok, mundar-mandir sebentar dan kemudian tidur di situ, sementara penduduk yang terkejut segera berkerumun di tempat itu, hanya beberapa meter dari haiwan itu, merakam senario tersebut dengan telefon bimbit mereka.

Ketika video harimau betina berusia dua tahun, yang sesat keluar dari hutan simpan harimau Pilibhit, tular di media sosial, pegawai perhutanan bergegas ke tempat kejadian dan mengepungnya menggunakan jaring, lapor Hindustan Times.

Beberapa jam kemudian, harimau betina itu ditenangkan dan diangkut ke ibu pejabat kawasan hutan Mala, kata pegawai.

Naveen Khandelwal, timbalan pengarah rizab harimau Pilibhit, berkata, “Pemeriksaan fizikal menyeluruh harimau betina sedang dijalankan oleh pakar hidupan liar dan veterinar untuk memutuskan tindakan selanjutnya mengenai pembebasan kucing besar itu.”

Pakar, bagaimanapun berkata, harimau betina itu kelihatan tidak sihat dan menunjukkan gejala penyakit canine distemper, penyakit virus yang sering membawa maut kepada kucing.

Kampung Atkona, walaupun dikelilingi oleh rizab harimau, tidak selalu mendapat kejutan seperti itu, kata penduduk.

Jadi, apabila bunyi salakan anjing kedengaran pada awal pagi Isnin, sebelum matahari mula menyinari langit, Sindhu Singh dan keluarganya terkejut.

Mereka yang bergegas keluar dari rumah untuk menenangkan anjing-anjing itu, terserempak dengan seekor harimau, sedang berehat dengan tenang dekat dinding rumah mereka.

Keluarga Sindhu yang terperanjat segera membunyikan penggera yang mengejutkan seluruh kampung, tetapi langsung tidak mengejutkan harimau itu, yang kemudiannya memanjat tembok dan berehat di situ untuk beberapa jam berikutnya.

Penduduk kampung yang berkumpul di situ segera mengambil gambar dan video sementara ada penduduk lain memaklumkan hal itu kepada pihak perhutanan.

Apabila pengawai perhutanan tiba, mereka segera menembaknya dengan ubat pelali pada paha kirinya.

Beberapa jam kemudian, apabila ubat pelali memberi kesan, harimau itu cuba melarikan diri, tetapi ditangkap oleh pengawai perhutananan, yang memindahkannya ke dalam sangkar.

Pakar hidupan liar, bagaimanapun, menegaskan bahawa harimau betina itu tidak cuba melarikan diri selama beberapa jam, adalah tingkah laku yang “luar biasa”.

Ramesh Pandey, bekas pengarah lapangan Rizab Harimau Dudhwa dan kini inspektor jeneral perhutanan di persekitaran Kesatuan dan kementerian perhutanan berkata: “Agak aneh bahawa seekor kucing besar tinggal di tempat yang sama untuk tempoh yang lama di tengah-tengah kehadiran manusia dan tidak menunjukkan tingkah laku agresif atau rasa terganggu.”

Author

Pilihan Editor