CYBERJAYA: Kerajaan memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuatkuasa serta-merta.
Jelas Perdana Menteri, sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
“Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia.
“Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu,” tegas Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.
Katanya, Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
Beliau menambah, kedua-dua sekatan itu berkuatkuasa serta-merta.
“Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia,” katanya.