CYBERJAYA: Tiada keperluan untuk memikirkan kerjasama antara UMNO dan PAS buat masa ini, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, kemungkinan untuk kedua-dua parti tersebut kembali bersatu sudah tiada selepas kegagalan dalam gabungan Muafakat Nasional (MN).
Tambahnya, isu Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), yang menyatukan UMNO dengan PAS telah terbantut berikutan faktor politik.
“Buat masa ini tidak perlu difikirkan lagi kerjasama UMNO-PAS. Ia tidak ke mana. Asasnya ialah politik. Ia tidak kekal dan tidak bermanfaat.
“Justeru, bila kerjasama ini dibangkit semula ia hanya marriege of convenience kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman. Lebih baik moving forward.
“UMNO dan Kerajaan Perpaduan tumpu menyejahterakan ekonomi negara dan rakyat. Manakala Perikatan Nasional (PN) jadi pembangkang yang konstruktif,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.
MN secara rasmi dibentuk menerusi pemeteraian piagam ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 September 2019.
Namun, gabungan itu mula terkubur selepas UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan bertanding solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seterusnya membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).