HomeBeritaKPDN digesa ambil tindakan syarikat umrah ingkar bayar ganti rugi

KPDN digesa ambil tindakan syarikat umrah ingkar bayar ganti rugi

PUTRAJAYA: Seramai 47 mangsa penipuan pakej umrah hari ini tampil membuat aduan dan menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan tegas ke atas sebuah agensi pelancongan yang gagal membayar tuntutan ganti rugi seperti diarahkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, TTPM menganugerahkan tuntutan ‘award’ kepada mangsa-mangsa yang terbabit pada Oktober lalu berdasarkan aduan yang dikemukakan oleh mereka.

“Bagaimanapun pihak syarikat masih berdegil dan tidak mahu menurut perintah ‘award’ yang dikeluarkan.

“Apa yang lebih menghairankan apabila tiada sebarang tindakan dan tuduhan yang dikenakan ke atas syarikat yang mana ia secara terang-terangan menunjukkan mereka ini ingkar dan tidak menghormati perintah ‘award’ yang dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan surat aduan kepada wakil KPDN di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, kegagalan agensi berkenaan berbuat demikian merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Beliau turut menggesa KPDN segera menguatkuasakan peruntukan perundangan mengikut seksyen berkenaan terhadap agensi tersebut.

Katanya, terdapat sebahagian mangsa yang menerima bayaran balik daripada syarikat berkenaan dalam bentuk cek ‘post-dated’, namun apabila tiba tarikh seperti mana dinyatakan, cek tersebut tidak dapat ditunaikan.

“Pihak bank memaklumkan kepada mangsa bahawa pembayaran ke atas cek itu diberhentikan oleh syarikat dan tidak boleh digunakan. Justeru, mangsa-mangsa ini rasa mereka diperdaya oleh pihak syarikat ini,” katanya.

Salah seorang mangsa penipuan pakej umrah, Norizan Mohd Ali, 46, mendakwa, dia bersama enam lagi ahli keluarga terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM35,000 susulan masalah yang dihadapi.

Jelas Norizan, dia memilih untuk menunaikan umrah menggunakan khidmat agensi pelancongan itu pada Disember tahun lalu setelah menyelidik dan melihat maklum balas positif daripada para pelanggan terdahulu, namun tidak menyangka perkara sebaliknya akan berlaku.

“Kita berminat bukannya sebab pakej mereka murah, harga yang ditawarkan sama sahaja seperti agensi lain, tapi kita tengok latar belakang syarikat itu mengendalikan pelanggan sebelum ini memang bagus.

“Bagaimanapun, selepas lihat di televisyen tentang penggantungan lesen, kami mula rasa tak sedap hati, ditambah pula dengan cara kakitangan mereka yang meminta pelanggan untuk membayar wang bagi pakej mengerjakan umrah seolah-seolah seperti memungut hutang.

“Kami tetap berfikiran positif sahaja dan masih berharap dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci, namun sehingga kini tiada sebarang berita dan kami juga sudah membuat pelbagai aduan dan laporan kepada pihak berwajib,” katanya.

Pada 24 November lalu, media melaporkan MHO menggesa Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan atas kesalahan jenayah terhadap sebuah syarikat yang disyaki memperdayakan 123 mangsa penipuan pakej umrah membabitkan jumlah kerugian RM1.3 juta. – Utusan

 

Author

Pilihan Editor