HomePendidikanKursus dalam aliran bukan sains akan diubah - Ahmad Zahid

Kursus dalam aliran bukan sains akan diubah – Ahmad Zahid

CYBERJAYA: Kursus-kursus dalam aliran bukan sains akan diubah bagi memberikan keterampilan kemahiran kepada pelajar universiti serta di institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), bersesuaian dengan keperluan pekerjaan pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu adalah sebahagian inisiatif Kerajaan Madani susulan mendapati 1,344 institusi TVET di negara ini dengan 12 kementerian turut mengendalikan soal pendidikan itu.

“Untuk mahasiswa, apa yang diperlukan ialah kita akan merubah kursus-kursus yang diambil dalam liberal art atau aliran bukan sains untuk kita berikan keterampilan kemahiran, bukan sekadar kepada (pelajar) universiti malah juga (institusi) TVET lain seperti politeknik.

“Selain itu kita mempunyai Institut Kemahiran MARA bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan ini penting untuk memberikan peluang kepada pelajar dan bakal-bakal pekerja yang kita sebut sebagai guna tenaga penuh dalam negara,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog sempena penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Ahad.

Tambah beliau, dengan komitmen Perdana Menteri yang berada di tahap tinggi untuk melihat seluruh rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan yang baik, beliau yakin perancangan ke arah perubahan itu akan benar-benar dapat dicapai.

“Saya pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri sebanyak dua kali dan saya lihat Perdana Menteri (Anwar) ini berbeza dengan tiga orang Perdana Menteri sebelumnya.

“Untuk itu, dalam tempoh empat tahun mendatang jika rakyat terus bersatu dan semua menteri bekerja sebagai satu pasukan, saya amat yakin kestabilan politik bukan hanya dapt memacu pembangunan negara tetapi juga ekonomi dan peluang-peluang pekerjaan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor