INDIVIDU yang memilih profesion sebagai guru sepatutnya harus memiliki kesabaran yang tinggi, dalam melayan pelbagai ragam pelajar.
Namun, tidak dinafikan bahawa setiap orang memiliki tahap kesabaran terbatas sebagai manusia biasa.
Baru-baru ini, seorang guru tidak dapat menahan amarah apabila bertindak menampar seorang pelajar, dipercayai dilakukan ketika sesi perhimpunan di sebuah dataran sekolah.
Turut menyaksikan insiden itu adalah beberapa orang guru dan pelajar lain, sekali gus memalukan pelajar terbabit.
Tidak berpuas hati dengan perlakuan itu, guru wanita yang berada di lokasi tersebut sebaliknya bertindak merakam kejadian berkenaan.
Video itu kemudian dimuat naik di media sosial sebelum tular sejak Rabu.
“Biarlah nak kena saman ke nak kena apa-apa ke, saya nak upload juga.
“Tak ada niat nak buka aib tapi untuk jadi peringatan untuk orang ramai.
“Anda cikgu, guru besar atau Guru Penolong Kanan (GPK). Tak kisahlah anda siapa cuma waktu anda marah atau tegur anak murid tu biar beradab sikit. Saya tak pernah buat pelajar saya macam tu jika saya berasa marah sekalipun.
“Anda buat perkara itu di depan orang ramai. Biar cerdik sikit cikgu oi,” tulis seorang guru yang memuat naik video itu menerusi loghat Pantai Timur.
MEDIA VARIASI masih belum dapat memastikan punca guru itu menampar pelajar terbabit, malah lokasi dan masa sebenar juga tidak dapat dikenal pasti.
Sehingga kini, pihak berkuasa juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.