HomeBeritaLelaki ‘lalok’ bakar rumah sendiri ditahan

Lelaki ‘lalok’ bakar rumah sendiri ditahan

IPOH: Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah ditahan selepas disyaki membakar rumahnya sendiri di Kampung Baru Jelapang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditangkap selepas pihaknya menerima laporan berkaitan kebakaran itu.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Berdasarkan soal siasat terhadap lelaki itu, suspek didapati tidak ingat kejadian tersebut kerana dipercayai masih berada di bawah pengaruh dadah,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, maklumat kejadian itu diterima pihaknya pada pukul 10.30 pagi di mana siasatan oleh anggota di lokasi mendapati kebakaran tersebut bermula dari ruangan bilik tidur rumah suspek.

Katanya, suspek dipercayai dengan sengaja telah membakar wayar di atas lantai di bilik tidur sebelum api merebak ke bahagian tilam dan keseluruhan rumah sehingga memusnahkan hampir 90 peratus dengan anggaran kerugian kira-kira RM80,000.

Tambah beliau, suspek yang mempunyai beberapa rekod lampau bersabit kes penyalahgunaan dadah dan jenayah itu mendiami rumah berkenaan bersama isterinya dan ketika kejadian, wanita itu telah keluar bekerja.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan di Mahkamah Majistret esok. Kertas siasatan akan dilengkapkan segera untuk dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor