HomeBeritaLelaki lompat terjun ke landasan LRT maut digilis tren

Lelaki lompat terjun ke landasan LRT maut digilis tren

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut digilis tren di stesen transit aliran ringan (LRT) Dato Keramat, di sini, malam tadi.

Perkara itu susulan mangsa melompat dan baring di atas landasan dengan sendiri sebelum digilis dengan tren.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya memerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.56 malam tadi.

Menurutnya, orang awam memaklumkan bahawa seorang lelaki tempatan melompat terjun ke landasan stesen LRT berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, semakan sebelum kejadian mendapati lelaki berusia 27 tahun tersebut bersama penumpang lain sedang menunggu LRT di platform 1.

“Ketika tren hendak berhenti, secara tiba-tiba mangsa melompat dan baring di landasan menyebabkan tren LRT tersebut terus melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa yang berada di bawah tren mengalami cedera parah teruk pada kedua-dua belah kaki akibat digilis.

“Pihak bomba cuba untuk mengalihkan mangsa namun mendapati lelaki berkenaan telah meninggal dunia. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan pada pukul 11.13 malam sebelum dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Maklumnya, kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Author

Pilihan Editor