CYBERJAYA: Seorang lelaki ditemukan mati dalam kejadian di Kampung Baru Pahi, dekat Kuala Krai, Kelantan pada Selasa.
Mangsa yang berusia 48 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU) mental.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, ibu mangsa memaklumkan pada waktu pagi hari kejadian, lelaki berkenaan ada keluar dari bilik untuk sarapan dan masuk semula ke dalam biliknya.
“Sehinggalah pada jam lebih kurang 2.15 petang, ibu mangsa masuk ke bilik mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Ibu mangsa terus memaklumkan kepada jiran untuk memohon bantuan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mangsa oleh Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra mendapati, punca kematian mangsa disebabkan kekurangan oksigen di otak.