HomeBeritaPolitikLian Ker usah percik api perkauman isu 3R - Wan Rosdy

Lian Ker usah percik api perkauman isu 3R – Wan Rosdy

CYBERJAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker supaya tidak memercik api perkauman dalam agenda melibatkan isu agama, raja dan kaum (3R).

Wan Rosdy membangkitkan perkara itu susulan ucapan Ahli Dewan Negara itu ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara, yang meminta kerajaan supaya tidak meneruskan program Kongres Ekonomi Bumiputera, sebaliknya menganjurkan kongres ekonomi yang menguntungkan keseluruhan rakyat.

Tegas Wan Rosdy, ketika ini tiada halangan buat mana-mana kaum di Malaysia untuk mengadakan kongres seperti itu.

Memberi contoh masyarakat Cina, Wan Rosdy berkata, meskipun kaum tersebut mempunyai banyak kongres dan perbincangan menerusi pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan ekonomi, namun ia tidak langsung dijadikan isu.

“Malah, saya sebagai Menteri Besar Pahang juga ada beri sumbangan khas Kerajaan Negeri kepada persatuan-persatuan ini.

“Justeru saya pesan kepada Senator Ti, jangan cuba percik api perkauman dalam agenda yang melibatkan 3R. Jangan nampak terlalu terdesak, risau nanti tersedak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kunci terhadap Malaysia yang lebih berpadu dan harmoni adalah orang Melayu harus kuat dan stabil sama ada dari sudut politik mahupun ekonomi.

Menurutnya, sejarah telah membuktikan bahawa jika agenda dan kepentingan Melayu terkebelakang, maka kestabilan sosiopolitik dan sosioekonomi negara turut akan terjeas secara keseluruhan.

“Mundur Melayu, mundur jualah negara. Jadi, apa masalah kalau ada kongres yang membincangkan soal ekonomi orang Melayu? Ini untuk kepentingan nasional dan nikmatnya akan turut dikongsi oleh kaum-kaum lain, seperti yang dinikmati sekarang.

“Tidak pasti sama ada luka masih berdarah melihat keakraban Kerajaan Perpaduan, atau sengaja nak cari nama atau publisiti di ‘hujung nyawa’ politik beliau,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor