HomeBeritaLima pondan dicekup, rumah urut gajikan pekerja Islam kena serbu di Ipoh

Lima pondan dicekup, rumah urut gajikan pekerja Islam kena serbu di Ipoh

IPOH: Seramai lima orang pondan ditahan dalam Op Cegah Pondan yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sekitar bandar raya ini, baru-baru ini.

Menurut jurucakap Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIPk, kesemua pondan terbabit berasal dari Thailand.

“Dalam pada itu, dua lelaki juga ditahan bagi tujuan dokumentasi dan kemudian dilepaskan dengan jaminan penguat kuasa agama,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, mengikut Seksyen 55 Enakman Jenayah Syariah Perak (EJSPk), seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam bagi tujuan maksiat adalah satu kesalahan.

Katanya, jika disabit bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Menerusi gambar yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIPk, jelas kelihatan ada yang lari bertempiaran ketika didekati anggota penguat kuasa.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, sebuah pusat pusat refleksologi atau rumah urut di kawasan sekitar Gunung Rapat turut diserbu.

Katanya, rumah urut itu dikendalikan oleh seorang wanita beragama Islam dengan menggajikan lima tukang urut, kesemuanya beragama Islam.

“Dalam serbuan tersebut, dua lelaki dalam keadaan tidak berpakaian turut ditahan ketika sedang leka menerima urutan.

“Semua tangkapan dibawa balik ke pejabat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 54 EJSPk 1992 (khalwat) dan Seksyen 29 enakmen sama (menggalak maksiat).

“Jika disabit bersalah boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Author

Pilihan Editor