JANGAN lepaskan peluang untuk berkunjung ke Orkid Putrajaya 2023 yang berlangsung selama tujuh hari di Taman Botani, Putrajaya!
Sebelum menuju ke karnival itu, ini 6 perkara anda perlu ketahui mengenai Orkid Putrajaya 2023!
1. Tempoh pelaksanaan
Orkid Putrajaya 2023 yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya berlangsung selama tujuh hari iaitu mulai 14 Disember (Khamis) hingga 20 Disember 2023 (Rabu). Yang penting, masuk adalah percuma!
2. Tarikan utama
Terdapat tiga kategori tarikan utama yang anda boleh sertai iaitu Pertandingan/Pameran, Aktiviti/Persembahan dan Aktiviti Komersil. Boleh rujuk poster di bawah ya!
3. Nak parking mana?
Jangan risau, pihak penganjur ada sediakan kawasan parking khas buat pengunjung. Boleh rujuk gambar di bawah ini ya… Oh ya, di setiap kawasan parking tersebut merupakan laluan shuttle bas yang akan membawa anda ke Taman Botani, Putrajaya. Bas shuttle boleh dinaiki secara PERCUMA mulai jam 7.45 pagi hingga 10.30 malam pada setiap hari. Jadi tak perlu risau kalau parking ‘jauhhhhh’.
4. Kalau ‘blur-blur’, sesat atau tak tahu nak kemana bagaimana?
Disebabkan kawasan karnival ini terlalu luas, mungkin buatkan anda hampir pening kepala tak ingat arah, jangan risau! Pihak penganjur telah menempatkan petugas-petugas sukarelawan memakai vest hijau terang ‘ASK ME’ bagi sebarang pertanyaan dan bantuan. Boleh ‘roger’ je geng ASK ME!
5. Makan-makan ada tak?
Tak lengkap la karnival kalau tiada makanan dengan tempat lepak kan? Alang-alang dah berkunjung ke Orkid Putrajaya 2023, anda boleh singgah makan dan minum di Coffee Village. Terdapat 48 gerai disediakan dengan tawaran seperti kopi, lain-lain minuman dan makanan. 11 Foodtruck juga turut mengambil bahagian. Malahan kerusi meja turut sediakan untuk pengunjung menjamu selera.
6. Ada hibrid Orkid baharu!
Untuk makluman anda, Majlis Perasmian Orkid Putrajaya 2023 telah disempurnakan oleh Isteri Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, pada hari pertama karnival ini dibuka.
Menariknya dalam majlis itu, Perbadanan Putrajaya turut memperkenalkan hibrid orkid baharu yang dikenali dengan nama Dendrobium Dr. Wan Azizah bersempena nama isteri Perdana Menteri sewaktu majlis perasmian tersebut. Nak tahu yang mana satu orkid itu, kenalah ke Orkid Putrajaya 2023!