CYBERJAYA: Operasi Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga pukul 1.00 pagi pada Sabtu ini.
Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) berkata, lanjutan operasi itu sempena perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung nanti.
“Bagi mengelakkan kesesakan pada waktu puncak petang, penyokong diminta hadir lebih awal ke Stadium Bukit Jalil sebelum pukul 5 petang.
“Ia dapat memberi keselesaan kepada penyokong dan juga warga kota yang ingin pulang dari pejabat,” katanya menerusi Facebook Rapid.KL, hari ini.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan untuk memastikan baki kad Touch ‘n Go (TNG) mencukupi.
“Nikmati diskaun tambang sehingga 25 peratus bagi penumpang dari atau ke Stesen LRT Bukit Jalil sahaja.
“Kakitangan dan tren tambahan akan disediakan bagi membawa semua penumpang untuk pulang ke destinasi selepas tamat perlawanan,” ujarnya.
Sementara itu, penyokong dinasihati untuk mematuhi pihak berkuasa dan menjaga keselamatan diri.