HomeBeritaPengantin lelaki maut, 8 cedera nahas tiga kenderaan

Pengantin lelaki maut, 8 cedera nahas tiga kenderaan

CYBERJAYA: Seorang pengantin lelaki maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Batu 3 Jalan Bernam, Kuala Selangor–Tanjung Karang, pada Ahad malam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.05 malam.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Bomba tiba di lokasi kejadian dan mendapati sepasang pengantin baharu yang menaiki Perodua Bezza telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Pemeriksaan mendapati mangsa yang dikenali sebagai Norsyam Nassullah Rahim, 23, telah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya Aini Hayati Mohd Radzi, 22, cedera di dagu serta patah kaki kiri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, pemeriksaan pada kereta Nissan Almera mendapati, Tein Kim Tai, 55, dan Tan Hui Cheng, 48 cedera di dada dan leher.

Sementara empat wanita berbangsa India yang menaiki Honda City, mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

“Selain itu, seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd Azizi Faez Mohamad Alias, 33, orang awam yang membantu mangsa kemalangan turut cedera parah,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor