PENGARAH Hollywood kelahiran Malaysia, James Wan mengakui rindu akan tanah kelahirannya itu.
Menurut James, 46, inilah peluangnya untuk melepas ‘gian’ menjamah hidangan yang dirindui selama berada di Malaysia.
“Sampai saja di Kuala Lumpur saya terus order laksa, nasi ayam Hainan dan sudah tentulah durian,” katanya memetik Gempak.
Anak kelahiran Sarawak dan membesar di Australia itu memberitahu, dia turut sempat singgah ke beberapa lokasi sekitar ibu kota.
“Semalam saya ke Batu Caves sebab saya tak pernah lagi ke sana sebelum ni. Tak sangka pula tinggi betul. Memang penat nak naik sampai atas.
“Oleh kerana itu juga, saya memang memasang impian untuk memperkenalkan Malaysia dalam projek saya akan datang. Bukan sebab kerana saya berasal dari sini.
“Tapi apabila menaiki Batu Caves dan pulang ke tanah air, Malaysia sangat indah. Cuma saya perlu cari cerita yang paling tepat,” kongsinya.
Difahamkan, kehadiran James Wan ke Malaysia adalah untuk mempromosikan filem terbaharunya iaitu Aquaman And The Lost Kingdom.
Untuk rekod, Aquaman And The Lost Kingdom merupakan kesinambungan kepada filem Aquaman yang diterbitkan pada tahun 2018.
“Penonton akan dapat lihat Aquaman menjadi pemerintah di Atlantis, selain bergelar bapa dan suami, dia akan memikul lebih banyak tanggungjawab,” ulas James yang pernah mengarahkan The Conjuring dan Insidious.