HomeBeritaPolitikPinda Perlembagaan benarkan hanya Melayu Islam jadi PM

Pinda Perlembagaan benarkan hanya Melayu Islam jadi PM

CYBERJAYA: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyarankan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim meminda Perlembagaan Persekutuan, agar hanya orang Melayu beragama Islam sahaja boleh menjadi Perdana Menteri.

Menurut Ketua Armada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) itu, perkara tersebut boleh dilakukan dengan majoriti dua pertiga yang dimiliki Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, cara itu secara tidak langsung dapat memulihkan sokongan orang Melayu di negara ini kepada Kerajaan campuran pimpinan Anwar.

“Cadangan saya kepada Anwar bahawa inilah waktu terbaik dengan majoriti 2/3 yang ada seperti digembar-gemburkan, untuk meminda Perlembagaan Persekutuan agar hanya seorang Melayu beragama Islam boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Mungkin dengan cara ini, sedikit sebanyak dapat memulihkan sokongan orang Melayu di negara ini kepada Kerajaan Campuran pimpinan beliau berbanding memperagakan capal, songkok, cium keris, atau bertiwikrama bahasa!,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa Perlembagaan Malaysia tidak menghalang seorang bukan Melayu dari menjadi Perdana Menteri, menimbulkan pelbagai keresahan dalam kalangan orang Melayu yang merupakan kaum majoriti negara ini.

Katanya, Impian Malaysia versi pemimpin DAP itu seolah-olah telah mematikan roh dan semangat penubuhan Persekutuan Malaysia.

“Impian Malaysia atau lebih tepat ‘Igauan Malaysia’ versi pemimpin DAP ini seolah-olah telah mematikan roh dan semangat penubuhan Persekutuan Malaysia yang meletakkan aspek perpaduan kaum berteraskan penghormatan kepada kontrak sosial, wasiat Raja-Raja Melayu serta ‘unwritten consensus’ antara yang lain.

“Inilah waktunya untuk mematikan igauan pemimpin DAP ini yang telah puluhan tahun mengigau dan menjual mimpi ngeri kepada orang Melayu dan kaum Pribumi yang mempelopori perjuangan Kemerdekaan tanahair dengan bermandi darah dan air mata melawan penjajah ratusan tahun lamanya,” katanya.

Author

Pilihan Editor