HomeBeritaPoster palsu minta derma, Siti Mastura dapatkan nasihat peguam

Poster palsu minta derma, Siti Mastura dapatkan nasihat peguam

GEORGETOWN: Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Mohamad akan mendapatkan nasihat undang-undang berhubung penyebaran poster palsu, yang mendakwa dirinya meminta derma untuk membayar kos saman fitnah dikemukakan oleh pemimpin DAP.

Menerusi poster tular itu, Timbalan Ketua Sayap Wanita PAS Pulau Pinang itu didakwa kononnya meminta derma orang ramai, bagi menampung kos pengurusan untuk pembelaan awal beliau yang dijangka melebihi RM30,000.

“Kami akan menyerahkan kepada peguam kami untuk membuat keputusan,” kata Siti Mastura seperti dilapor FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama beliau dan sayap wanita PAS Pulau Pinang akan membuat laporan polis berhubung poster itu.

Terdahulu, sayap wanita PAS Pulau Pinang pada Ahad mengeluarkan kenyataan menafikan kesahihan poster itu.

Pada 29 November, penasihat DAP, Lim Kit Siang; pengerusi parti, Lim Guan Eng dan Naib Pengerusi parti, Teresa Kok memfailkan saman berasingan terhadap Mastura.

Ini susulan dakwaan Mastura yang mengaitkan ketiga-tiga pemimpin politik itu mempunyai kaitan dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Menerusi saman difailkan oleh Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 21 November, ketiga-tiga pemimpin DAP itu menuntut ganti rugi libel dan fitnah terhadap Mastura kerana merosakkan reputasi mereka.

Ketiga-tiganya juga mahu Mahkamah Tinggi mengeluarkan injunksi menghalang Mastura daripada mengeluarkan, menulis, menerbitkan atau mengedarkan kenyataan yang sama atau serupa.

Author

Pilihan Editor