HomeGaya HidupRaikan musim cuti bersama si lucu Minions

Raikan musim cuti bersama si lucu Minions

MUSIM cuti persekolahan ketika ini sudah pasti lebih bermakna buat anak-anak, apabila dibawa ke lokasi pelancongan meskipun hanya di dalam negara.

Keriangan mereka lebih terserlah sekiranya dibawa meneroka kehidupan animasi sebenar.

Kini, impian mereka untuk menelusuri dunia fantasi akan menjadi realiti, menerusi pameran A Minion’s Perspective yang berlangsung sejak 5 Disember ini sehingga 10 Mac 2024.

Bertempat di Resorts World Genting Highlands, Genting Highlands, Pahang, pameran ini diadaptasi daripada filem animasi paling berjaya di dunia, Despicable Me dan The Minion Illumination.

Pameran jelajah antarabangsa ini menawarkan para peminat dari semua peringkat umur untuk menyelami filem ini secara lebih dekat, khususnya Minion yang berwarna kuning, berbentuk silinder dan berbaju biru.

Watak yang sinonim dengan kanak-kanak ini sudah pasti menghiburkan orang ramai dengan telatah dan bahasa tersendiri.

Presiden Pembangunan Perniagaan Global Destinasi dan Pengalaman Universal, Michael Silver berkata, pameran tersebut bersesuaian dengan aktiviti santai seisi keluarga.

“Sebelum ini, pameran Minion berjaya di beberapa lokasi seluruh dunia seperti Seoul dan Pulau Jeju (Korea Selatan), Dalian, Shenzen dan Shanghai (China), Taipei (Taiwan) serta Singapura.

“Kali ini, kami bawakan pengalaman tersebut ke Malaysia,” katanya pada majlis perasmian yang turut diadakan di Resorts World Genting.

Melangkah masuk ke pameran itu, pengunjung berpeluang untuk merakam momen indah di dalam booth gambar dan skrin hijau dengan latar adegan filem pilihan.

Pameran seluas 1,800 meter persegi itu menampilkan lapan zon bertema dengan aktiviti interaktif berbeza.

Lapan zon tersebut ialah teater, pameran filem, makmal Gru, bilik anak gadis Gru, penjahat, zon Minion, zaman Minion dan laluan infiniti.

Menuju ke ruang teater, pengunjung akan dibawa ke kawasan tertutup dan dihidangkan dengan tayangan adegan-adegan menarik daripada siri filem Despicable Me.

Antara model bercetak 3D filem Despicable Me yang dipamerkan.
Model 3D Gru turut dipaparkan pada pameran tersebut.

Perjalanan kemudian diteruskan dengan pameran bergambar, model bercetak tiga dimensi (3D) dan video-video daripada pengarah filem tersebut.

Gru bergambar bersama hasil ciptaannya.

Di ruangan makmal Gru, pengunjung diberi peluang mencuba uji kaji penghasilan kentut menerusi simulator mesin kentut dan ciptaan-ciptaan aneh Felonius Gru.

Antara figura Minion di ruangan makmal Gru.

Sementara itu, bilik anak-anak perempuan Gru sudah pasti menjadi syurga buat kanak-kanak perempuan apabila ia dihiasi dengan dekorasi bertemakan ceria dan ‘sweet‘.

Ruangan bilik anak-anak Gru yang menjadi idaman kanak-kanak perempuan.
Fluffy bersaiz mega dipamerkan di ruangan bilik anak-anak Gru.
Ruangan ceria ini pasti menambat hati kanak-kanak perempuan yang gemarkan kepelbagaian warna.
Hasil mewarna digital akan dipaparkan di skrin besar.

Di sana, mereka boleh mengabadikan momen bergambar bersama Fluffy bersaiz mega, serta meluangkan masa menerusi aktiviti mewarna digital yang boleh dikongsi ke skrin besar.

Pengunjung akan merasai pengalaman lebih mencabar menerusi cabaran permainan ‘hopscotch‘ berasaskan memori di ruangan watak jahat, Scarlet Overkill dan Vector.

Pengunjung berpeluang mengambil gambar bersama figura watak jahat, Scarlett Overkill.
Figura watak jahat filem Despicable Me paling popular, Vector turut dipaparkan.
Balthazar Bratt antara watak jahat yang menjadi perhatian.

Malah, pengunjung juga boleh menyerlahkan bakat menari seperti Balthazar Bratt.

Taman bola Minion yang dijangka bakal dipenuhi dengan keseronokan kanak-kanak.
Pengunjung bergambar di taman bola Minion.

Di zon bertemakan minion, antara aktiviti yang boleh dilakukan termasuk persaingan merebut mata menerusi balingan bola ke arah skrin pisang dan berseronok di taman bola Minion.

Antara figura Minion yang menarik perhatian.
Figura evolusi Minion pada zaman purba.
Figura Minion menaiki takhta sebagai raja menjadi tumpuan di zon Minion.

Sebelum melangkah keluar, pengunjung boleh bergambar dengan figura evolusi Minion bermula daripada zaman purba, naik takhta sebagai raja dan menjadi askar untuk pertempuran.

Antara pengunjung yang bergambar di ‘standee’ Minion.

Tidak sempurna perjalanan ke pameran ini sekiranya pengunjung tidak merakam lebih banyak foto bersama standee Minion di laluan infiniti.

Sebagai ole-ole, kedai runcit yang disediakan menawarkan barangan filem Despicable Me dan Minion eksklusif untuk semua peminat.

Setelah puas menjelajah dunia Minion, pengunjung juga boleh mendapatkan snek dan minuman di kaunter makanan di pintu masuk.

Tiket pameran A Minion’s Perspective dengan harga bermula RM59 kini tersedia untuk pembelian di https://bit.ly/a-minions-perspective.

 

 

 

 

Author

Pilihan Editor