SEJENIS virus yang belum pernah dilihat sebelum ini serta berisiko menyebabkan penyakit menyerupai demam malaria dikesan di Peru, lapor Daily Mail kelmarin.
Perkara itu susulan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dilaporkan mengalami demam, sakit kepala, menggigil dan sakit otot selama dua hari akibat dijangkiti virus terbabit.
Berdasarkan kajian Unit Penyelidikan Perubatan Tentera Laut AS di Lima menerusi sampel darah lelaki berkenaan, ditemukan sejenis patogen baharu yang tidak diketahui.
Virus itu dikelaskan sebagai phlebovirus. Ia boleh menyebabkan penyakit demam akut termasuk malaria dan demam Rift Valley serta kebiasaannya berjangkit melalui serangga seperti lalat pasir, nyamuk atau kutu.
“Penemuan kami menunjukkan bahawa satu varian novel ECHV sedang tersebar di kawasan hutan tengah Peru.
“Oleh kerana simptom klinikal jangkitan adalah menyerupai demam denggi, malaria dan penyakit berjangkit tropika lain yang biasa di rantau ini, pemantauan berterusan diperlukan untuk mengesan patogen baharu dan yang baru muncul untuk melindungi kesihatan penduduk,” kata pasukan penyelidik tersebut.
Susulan itu, para penyelidik memberi amaran supaya pengawasan berterusan diperlukan dalam kalangan pesakit yang mengalami gejala ini untuk mengesan virus baharu dan melindungi kesihatan awam.
Justeru, pihak penyelidik meminta kajian ekologi untuk mengetahui sejauh mana varian baharu itu tersebar di rantau berkenaan dan mengesan potensi sumber jangkitan.