HomeBerita'Saya bukan Mr H' - Syam Ghaz

‘Saya bukan Mr H’ – Syam Ghaz

CYBERJAYA: Naib Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Hisyamuddin Ghazali menyangkal dakwaan kononnya beliau adalah individu dikenali ‘Mr H’ yang dikaitkan dengan kes video tular bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Penafian itu dibuat beliau menerusi satu video klip yang dimuat naik di media sosial.
Dalam video sama, Mohd Hisyamuddin atau lebih dikenali Syam Ghaz mengingatkan, ‘Mr H’ adalah orang yang berpangkat tinggi dalam JKOM sedangkan dirinya bukan individu berpangkat tinggi dalam jabatan itu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Ini kerana saya juga hadir pada sidang media Mohammad Agus dan Abdul Wahab baru-baru ini.

“Saya hadir pada sidang media itu kerana hendak tahu perkara sebenar yang terjadi,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook miliknya, Syam menyatakan dirinya tidak pernah dihubungi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu.

“Jika rujuk kenyataan Ketua Polis Negara ini, Mr H telah dipanggil beri keterangan 23 November 2023.

“Tak pernah pula PDRM Bukit Aman panggil saya beri keterangan.
“Tarikh tu saya ada dirumah dengan Family saya kerana 22hb saya ada mesyuarat dengan 80 NGO di Kelantan,” tulisnya pada Khamis.

Foto: FB Syam Ghaz

Sebelum ini, tular video perbualan jelik antara Mohammad Agus dengan Abdul Wahab menerusi media sosial, sebelum kedua-duanya mengadakan sidang media pada 17 November lalu.

Dalam sidang media itu, mereka mendakwa rakaman itu bertujuan menjatuhkan kredibiliti Mohammad Agus dengan didalangi individu dikenali Mr H.

Abdul Wahab yang juga Penolong Pegawai J-KOM mendedahkan identiti individu disebut ‘Mr H’ yang dikaitkan dengan kes video tular itu dalam laporan polis pada 30 November lalu.

Author

Pilihan Editor