HomeGlobalSekolah luluskan penubuhan Kelab Syaitan

Sekolah luluskan penubuhan Kelab Syaitan

MENJADI lumrah bagi setiap sekolah mempunyai pelbagai jenis kelab dan persatuan untuk memastikan para pelajar aktif dalam sesuatu perkara.

Namun, berbeza dengan sebuah sekolah tinggi di Kansas, Amerika Syarikat yang meluluskan penubuhan Kelab Syaitan.

Lapor Fox News, penubuhan Kelab Syaitan di Sekolah Tinggi Barat Laut Olathe itu mengundang kritikan hingga ada wujudnya petisyen menentang penubuhannya.

Bagaimanapun, jurucakap sekolah itu menyatakan bahawa permohonan penubuhan Kelab Syaitan memenuhi kriteria dan ia diiktiraf sebagai kelab yang dimulakan oleh pelajar sekolah tinggi tersebut.

Katanya, salah satu syarat penubuhan ialah permohonan perlu ditandatangani oleh sekurang-kurangnya sepuluh pelajar yang berminat untuk membentuk satu kumpulan, manakala tandatangan tambahan perlu datang daripada wakil pelajar dan penyelia fakulti.

Namun, keadaan menjadi tegang apabila seorang pelajar yang menentang penubuhan kelab tersebut membuat petisyen di internet pada awal bulan ini.

“Ini amat menyusahkan saya dan ramai lagi kerana kami percaya bahawa sekolah harus menjadi tempat pendidikan dan bukan platform untuk mengindoktrinasikan syaitan atau amalan kontroversi,” kata pelajar itu, Drew McDonald dalam catatan petisyennya.

Petisyen itu mendapat 81 tandatangan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan adalah hampir 7,800 penandatangan setakat Selasa lalu dan ia masih tidak mencukupi untuk menghalang pihak sekolah memberi kelulusan pada kelab berkenaan.

Author

Pilihan Editor