LANTANG bersuara mengenai kekejaman Zionis di Palestin, penyanyi Kaka Azraff dikatakan artis Malaysia pertama ditamatkan kontrak nyanyian dengan syarikat rakaman, Warner Music.
Perkara tersebut terbukti apabila muncul salinan surat tular yang memaklumkan Warner Music Malaysia telah menamatkan kontrak Kaka, 34, yang berkuatkuasa 31 Disember lalu.
Biarpun telah tamat kontrak, Kaka atau nama penuhnya Nor Atiqa Noor Azraff bagaimanapun tetap perlu memenuhi setiap aktiviti seni yang sudah diatur Warner.
Pelantun lagu Gila itu juga turut diberi amaran supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen yang boleh mencalarkan imej Warner Music Malaysia serta pihak berkaitan.
Kaka bagaimanapun sehingga hari ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mempertahankan dirinya berhubung isu tersebut.
Memetik HibGlam, nama penyanyi lagu Bawa Aku Pergi itu turut ‘hilang’ daripada senarai artis yang bernaung di bawah laber Warner Music Malaysia.
Selain Kaka, artis Malaysia yang masih bernaung di bawah syarikat tersebut ialah Bunga Isme, Alif Satar & The Locos, Zynakal dan Janna Nick.
Sebelum ini, nama Kaka kecoh diperkatakan apabila pihak pro-Israel mendedahkan data peribadi milik penyanyi itu menerusi Instagram Jew Hate Database selepas lantang bersuara mengenai tindakan kejam Zionis laknatullah terhadap Palestin.
Difahamkan, perkara itu tercetus susulan tindakan penyanyi tersebut meninggalkan komen dengan mengecam pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic, beberapa minggu lalu.
Aku baru baca dekat Instagram, Kaka Azraff punya profile semua kena share dekat satu account "Jew Hater" sebab mempertahankan Palestine dalam salah satu instastory orang.
Orang-orang Israel ni kutuk Kaka kaw-kaw. Aku rasa kita dah kena hantar netizen kita untuk lawan balik… pic.twitter.com/RMf34XMdPd
— Elmi (@ELMIELMO) December 1, 2023
“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?
“Orang sakit. Hitler sepatutnya membunuh semua Israel!” tulis Kaka.
Terdahulu, pada 13 Oktober lalu, syarikat induk, Warner Music Group memuat naik sebuah hantaran Instagram yang menyatakan sokongan mereka terhadap Israel selain menyifatkan Hamas sebagai pengganas.