KOTA BHARU: Polis sudah mengenal pasti beberapa kawasan panas seperti ‘Mini Dhaka’ yang digunakan pendatang asing tanpa izin (Pati), antaranya termasuk di sempadan Kelantan-Thailand.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah lokasi panas dan daerah yang terbabit.
Beliau sebaliknya mengesahkan bahawa kebanyakan kawasan panas di Kelantan terletak di daerah yang bersempadan dengan Thailand.
“Kita mengenal pasti beberapa kawasan panas yang digunakan oleh pendatang di beberapa negeri termasuk Kelantan.
“Ia berikutan operasi besar-besaran yang dijalankan di Jalan Silang, Kuala Lumpur. Kami akan melancarkan siri operasi keselamatan terhadap PATI ini tidak lama lagi.
“Tumpuan kita terlebih dahulu adalah di Lembah Klang dan diikuti kawasan lain,” katanya kepada New Straits Times.
Hazani berkata, operasi itu akan dijalankan secara bersepadu dengan agensi penguat kuasa lain.
Media sebelum ini melaporkan, 1,101 Pati ditahan dalam operasi bersepadu di ‘mini Dhaka’ di Jalan Silang, Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu.
Operasi bermula 11 pagi itu disertai 1,138 pegawai dan anggota daripada KDNKA membabitkan Bridged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan (K9).