HomeBerita'Sila siasat saya dan keluarga' - Ayob Khan

‘Sila siasat saya dan keluarga’ – Ayob Khan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan bahawa beliau bersedia untuk disiasat, susulan terdapat pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap Timbalan Ketua Polis Negara itu.

Menurut Ayob Khan, tohmahan itu dibuat berikutan ketegasannya dalam menangani isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelasnya, tohmahan untuk menjatuhkan beliau bukan sahaja dibuat kepada dirinya, malah keluarganya turut menerima tempias.

“Banyak tohmahan dan tuduhan dibuat terhadap saya, nak siasat silakan. Siasat isteri, anak, ibu bapa dan adik-beradik saya, tiada masalah.

“Begitu juga dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Noor Dellhan Yahaya yang bermacam-macam orang bagi tohmahan sebab orang nak tukar (jawatan) dia dan letak orang mereka,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Ayob Khan menegaskan, sebagai pemimpin perlu berani menegur.

“Kalau takut, habis lah. Setiap arahan dan amanat perlu benar-benar dihayati bagi mengelak rasuah serta budaya kerja negatif dalam pasukan.

“Misalnya dalam pasukan polis, ada budaya yang tak elok tidak ditinggalkan. Katakan ada pegawai baru keluar dari Pusat Latihan Polis, Pulapol bercampur dengan majoriti (pegawai atau anggota) tak betul, mereka akan ajar benda tak elok,” jelasnya.

Tambah beliau, jika mahu berubah, peringkat atasan termasuk pegawai kanan perlu betul (berintegriti).

“Jika Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Negeri dan Pengarah tak betul, macam mana nak budayakan perkara ini.

“Memang sukar nak ubah perkara ini sebab budaya itu sudah ada. Ia akan memakan masa untuk berubah, tetapi tidak mustahil kerana ia (perubahan) wajib dilakukan,” ujarnya.

Menceritakan pengalaman bertugas sebagai Ketua Polis Johor sebelum ini, Ayob Khan berkata, ada individu meminta beliau untuk mengikut apa sahaja ‘arahan’ diterima.

“Seminggu sebelum saya bertukar, ada orang cakap saya perlu ikut sahaja. Ada yang kata ‘Datuk jaga itu sahaja, yang lain kami jaga’. Apa yang kamu nak jaga? Saya ‘micro-manage’ (bergerak sendiri dan tanpa pengawasan).

“Sebab itu orang masih ingat lagi waktu saya di Johor kerana di sana orang bagi sokongan padu (kepadanya) sehingga ada yang (pegawai) pangkat Senior Asisten Komisioner dan Ketua Polis Daerah pun saya tangkap.

“Kalau kita mahu, kita boleh buat cuma kena konsisten dan saya yakin perubahan boleh dibuat,” katanya.

Author

Pilihan Editor