HomeBeritaSistem PADU dilancar 2 Januari - Rafizi

Sistem PADU dilancar 2 Januari – Rafizi

PETALING JAYA: Kementerian Ekonomi menjemput orang ramai hadir ke pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU) pada 2 Januari ini, sekali gus menyaksikan bagaimana sistem itu menjadi komponen utama penyasaran semula subsidi dan bantuan kerajaan.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, mereka yang tidak dapat menyertai acara itu boleh mengikutinya secara maya yang akan disiar dalam media sosial bermula pukul 10 pagi.

Katanya, selepas PADU dilancar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sistem tersebut akan dibuka kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengesahkan dan atau mengemas kini data isi rumah mereka selama tiga bulan.

“PADU adalah satu pangkalan data sosioekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan semua data dari jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi gambaran seadilnya kedudukan sosio-ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

“Kewujudan PADU membolehkan kerajaan beralih dari pendekatan B40-M40-T20 dalam menilai kelayakan penerima bantuan kepada pendekatan yang lebih bersasar dan adil untuk mengelakkan keciciran (mereka yang patut dapat tercicir, mereka yang tidak patut dapat menerima bantuan),” dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, kata Rafizi, PADU menggabungkan data dari pelbagai agensi kerajaan untuk membina maklumat lengkap setiap isi rumah.

Jelasnya, isi rumah iaitu ibubapa, anak, pendapatan setiap isi rumah, tempat tinggal, jumlah tanggungan, jumlah anak bersekolah, kenderaan, harta, setiap bantuan diterima dan bantuan kerajaan yang layak diterima.

“PADU menggunakan pendekatan pendapatan boleh belanja (bukannya pendapatan kasar) selepas mengambil kira tanggungan, jumlah isi rumah, kos sara hidup berbeza mengikut lokasi untuk memastikan penilaian lebih adil berbanding pendekatan pendapatan mengikut B40-M40-T20,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, PADU membolehkan semak silang data isi rumah untuk mengelakkan maklumat yang tidak tepat dalam permohonan bantuan kerajaan.

“Untuk memahami keberhasilan PADU dengan lebih mendalam, orang ramai boleh melayari https://www.ekonomi.gov.my/ms/padu.

“PADU adalah komponen utama untuk menjayakan satu dari reformasi utama ekonomi negara iaitu pelaksanaan subsidi bersasar. Kelayakan penerima subsidi bersasar akan ditentukan berdasarkan status sosio-ekonomi isi rumah rakyat Malaysia di dalam PADU,” katanya. – Utusan

 

Author

Pilihan Editor