RAMALLAH, Palestin: Seorang tahanan Palestin berada dalam keadaan sangat teruk selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel pada lewat Rabu.
Selepas dibebaskan, Farouk Khatib, 30, dimasukkan ke hospital di Ramallah di tengah-tengah Tebing Barat yang diduduki.
“Keadaan di penjara Israel sangat teruk, terutamanya selepas 7 Oktober […] walaupun sakit (kanser), saya masih dipukul, dihina dan diseksa,” kata Khatib kepada Anadolu.
Bapanya, Ismail memberitahu Anadolu bahawa Khatib “diabaian dari segi perubatan dan diseksa,” sambil menambah bahawa anaknya “dipukul dengan silinder gas oleh warden Israel.”
Sementara itu, Persatuan Tahanan Palestin (PPS) “mahu pentadbiran penjara pendudukan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keadaan kesihatan Khatib yang serius”.
Menurut agensi berita Palestin WAFA, Khatib ditahan di penjara Ofer dekat Ramallah dan kemudian dipindahkan ke penjara Nafha Israel. Dia, menurut agensi berita itu, kemudiannya dipindahkan ke klinik penjara Ramleh dan kemudian ke Hospital Soroka di mana dia dibebaskan selepas disahkan menghidap kanser perut tahap lanjut.
PPS berkata bahawa Khatib bukanlah satu-satunya kes tahanan yang dibebaskan dari penjara Israel dalam keadaan kesihatan yang teruk.
Angka-angka Palestin menganggarkan bahawa pada masa ini terdapat 7,800 rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel, selain ratusan yang lain ditangkap dari Gaza. – Anadolu