TIDAK mahu gerai nasi lemak kegemarannya ditutup, seorang lelaki sanggup memberi sejumlah wang kepada pemilik gerai untuk melunaskan tunggakan sewa kedai tersebut.
Menurut lelaki yang berbangsa Cina, Sunny Coco menyatakan gerai berkenaan diarah tutup disebabkan terdapat tunggakan sewa selama setahun.
“Saya makan nasi lemak ini sejak umur tujuh tahun. Mereka mula berniaga sejak zaman datuk dan sekarang sudah sampai generasi ketiga.
“Disebabkan bas tidak berhenti di sini, pelanggannya sudah kurang dan terdapat tunggakan sewa kedai selama setahun,” kongsinya di Facebook.
Tidak sanggup membiarkan kedai nasi lemak kegemarannya ditutup, lelaki terbabit memberikan sejumlah wang serta meminta peniaga itu membayar tunggakan dengan kadar segera.
“Mak cik menangis dan memberitahu saya pihak bangunan sudah keluar surat amaran dan suruh dia berhenti.
“Tanpa memikir, saya serahkan wang tunai dan minta dia pergi bayar kepada kerajaan.
“Saya sangat marah kerana gerai 50 tahun diminta tutup. Saya suruh dia pergi bayar agensi kerajaan,” kongsinya.
Tambah Sunny, meskipun dia berbangsa Cina namun ia bukanlah penghalang buat dirinya untuk membantu pemilik gerai nasi lemak.
“Saya seorang Cina boleh bantu mereka bayar sewa setahun tanpa kira kaum, kenapa kerajaan tidak boleh bantu ibu tunggal ini. Di mana semangat satu Malaysia.
“Ini adalah lauk kepunyaan orang Kulai yang telah menjangkau tiga generasi. Saya akan pastikan mereka terus berniaga,” ujarnya.