KUALA LUMPUR: Niat seorang remaja lelaki untuk mengambil pakaiannya terbantut, selepas maut terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, di sini pada Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.17 malam, manakala mayat mahasiswa sebuah universiti berusia 18 tahun itu ditemukan di tingkat bawah bangunan 39 tingkat berkenaan.
“Dua saksi kejadian mendakwa remaja itu ingin mengambil sehelai baju-T yang terjatuh di kaki lima balkoni. Dia memanjat sebuah meja dan kemudian memanjat pagar balkoni, bagaimanapun dikatakan hilang keseimbangan dan terjatuh,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Noor Dellhan berkata, mayat telah dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.