CYBERJAYA: Dr Zaliha Mustafa mengingatkan pemilik premis perniagaan supaya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), khususnya membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, perkara tersebut penting bagi mengelakkan risiko penarikan atau penggantungan lesen perniagaan masing-masing.
Beliau berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap premis perniagaan di Kuala Lumpur yang menyewakan lesen dan menggaji PATI.
“Saya maklum dan berterima kasih kepada Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia atas tindakan menyerbu dan menangkap PATI di Jalan Silang, Kuala Lumpur dua hari lalu.
“Saya juga telah mengarahkan DBKL untuk melaksanakan tinjauan dan pemantauan berkala terhadap premis-premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur, bagi memastikan isu seperti penyewaan lesen perniagaan kepada warga asing tanpa dokumen yang sah dan pengambilan pekerja dalam kalangan PATI dapat dibanteras sebaiknya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Khamis lalu, seramai 1,000 pegawai dan anggota polis mengepung Jalan Silang susulan kebanjiran warga asing yang dilihat semakin ‘besar kepala’ dengan membuka perniagaan selain ‘berlagak’ seperti warga tempatan.
Media tempatan melaporkan, kebanyakan mereka yang terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar gagal melarikan diri selepas menyedari kepungan mengejut dibuat.
Lebih mengejutkan, sikap ‘besar kepala’ warga asing itu terbongkar, apabila pemeriksaan di salah satu premis mendapati mereka menjalankan perniagaan klinik persendirian dan menyasarkan pelanggan dalam kalangan rakyat asing.
Turut ditemukan adalah pelbagai jenis ubat-ubatan dipercayai dari Bangladesh yang tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).