HomeBerita'Tiada lagi diskaun saman JPJ'

‘Tiada lagi diskaun saman JPJ’

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak lagi akan memberi sebarang diskaun saman kepada orang ramai.

Menurut Loke, sejak beliau menjawat jawatan berkenaan pada 2018, pihaknya menetapkan dasar supaya jabatan itu tidak lagi memberi pelepasan atau diskaun saman kepada pengguna jalan raya.

Katanya, ketika pentadbirannya, beliau sudah melupuskan lebih empat juta saman membabitkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), sekali gus mengurangkan hasil kerajaan sebanyak RM600 juta.

“Saya sudah katakan sebelum ini ketika membatalkan semua saman AES, bahawa pemberian itu adalah secara ‘one-off’. Ramai yang sambut baik tindakan itu.

“Namun selepas itu, tiada lagi diskaun akan diberikan oleh kementerian ini. Ini kerana kita beri saman untuk mendidik, namun sekiranya diberikan pengurangan seolah-olah kita boleh bertolak ansur. Ia juga tidak adil kepada individu yang membayar saman mengikut tarikh ditetapkan.

“Saya tahu orang ramai tidak gembira dengan berita ini dan akan mengkritik serta mungkin mengatakan saya ini tidak ada rasa simpati. Tetapi saya mohon maaf kerana bagi saya, paling penting isu keselamatan jalan raya perlu diberikan keutamaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas melawat reruai Kementerian Pengangkutan sempena pelaksanaan Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia MADANI, di sini, pada Sabtu.

Loke berkata, walaupun ramai pihak yang meminta untuk diberikan diskaun ketika karnival itu, pihaknya perlu tegas kerana kementeriannya diamanahkan untuk bertanggungjawab dalam isu keselamatan jalan raya.

Berikutan itu, Loke meminta supaya pengguna jalan raya yang mempunyai saman untuk tidak menanti sebarang diskaun.

Sebaliknya, katanya, mereka perlu menjelaskan kadar itu dalam kadar segera supaya tidak mendapat implikasi lain seperti menerima waran.

Mengulas lanjut, Loke berkata, walaupun pihaknya tidak memberi diskaun saman, pelbagai insiatif lain tetap diadakan bagi membantu rakyat.

“Saya lakukan perkara lain, seperti pemberian topi keledar percuma kepada penunggang motosikal serta pemberian cabutan bertuah membabitkan tiket penerbangan ke beberapa lokasi secara percuma.

“Tetapi dalam soal saman ini, saya tidak mahu berkompromi. Itu adalah dasar yang sudah saya bawa sejak menjawat jawatan ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor