HomeBeritaTol percuma dua hari sempena Hari Krismas

Tol percuma dua hari sempena Hari Krismas

CYBERJAYA: Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari iaitu pada 23 Disember (Sabtu) dan 26 Disember (Selasa) bersempena sambutan perayaan Hari Krismas Isnin depan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, perkara itu dilaksanakan susulan persetujuan hasil mesyuarat bersama dengan syarikat konsesi.

Menurutnya, pengecualian tol diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

“Pemberian tol percuma ini diharapkan dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.

“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

“Pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, KKR mengharapkan pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang tersebut dan merancang perjalanan dengan sebaiknya serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang disyorkan.

Tambah KKR, pengguna juga perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya.

“Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook : Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

“Kementerian Kerja Raya ingin mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua yang menyambut perayaan ini dan semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing,” maklumnya.

 

Author

Pilihan Editor