HAIWAN peliharaan yang menjalani pembedahan kosmetik bagi mendapatkan telinga persis kartun popular, Mickey Mouse kini menjadi trend yang semakin membimbangkan di China.
Justeru, pakar menggesa agar amalan bagi mendapatkan telinga haiwan berbentuk seperti watak kartun tikus Disney itu dihentikan.
Hal ini kerana pakar menganggapnya sebagai penderaan fizikal dan tekanan psikologi kepada haiwan.
Sebelum ini, iklan yang dikeluarkan klinik haiwan peliharaan di daerah Beibei, dekat Chongqing, China mempromosikan perkhidmatan pembedahan, bagi mendapatkan telinga seperti Mickey menarik perhatian ramai.
Menurut iklan itu, klinik tersebut menawarkan sebanyak 300 yuan (RM194) bagi prosedur yang akan dilakukan oleh Festival Musim Bunga Cina.
Dekan di Loving Care International Pet Medical Centre di Beijing, Liu Yundong menjelaskan bahawa prosedur itu terdiri daripada dua bahagian.
Beliau berkata, proses pertama menyaksikan pembedahan untuk membuang bahagian yang tidak diperlukan dan mengambil masa kira-kira setengah jam.
Katanya, proses kedua melibatkan pembentukan telinga untuk kekal tegak, yang mengambil tempoh selama 20 hingga 60 hari.
Peringkat ini mengambil masa lebih lama kerana memerlukan pelarasan yang kerap bagi memastikan telinga haiwan peliharaan kekal dalam kedudukan tegak secara kekal.
Meskipun prosedur pembedahan itu dibenarkan di negara itu, hospital haiwan di bandar besar jarang melakukannya ke atas haiwan peliharaan.
“Ia jarang dilakukan di hospital haiwan peliharaan di bandar, tetapi biasa berlaku di kandang anjing dan tempat pembiakan. Ketika ini, tiada sekatan undang-undang ke atas pembedahan ini di China. Ini adalah isu moral.
“Sebagai doktor haiwan, kami mematuhi prinsip kebajikan haiwan dan tidak menyokong pembedahan ini,” kata Yundong seperti dilapor South China Morning Post.
Sementara itu, doktor haiwan dari Shenzen Lianhe Pet Hospital, Chen Yong memberi amaran bahawa prosedur itu juga berisiko memberi kecacatan kepada haiwan peliharaan.
Jelasnya, tindakan merosakkan struktur semula jadi telinga boleh mengakibatkan masalah psikogenik pada sesetengah haiwan peliharaan.
“Sebagai contoh, sesetengah haiwan peliharaan yang sensitif mungkin menggaru (telinga) berulang kali akibat kesakitan yang melampau,” tambahnya.