BELUM sempat pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) berlangsung, bas pasukan Manchester United rosak diserang penyokong kasual Liverpool.
Lapor Mirror, beberapa objek termasuk botol kaca dibaling ke arah bas pasukan pelawat ketika menghampiri Anfield.
Sambutan tidak menyenangkan itu menyebabkan sebahagian daripada tingkap kenderaan tersebut pecah.
Bukan sekadar itu, The Red Devils juga dikejutkan dengan chanting provokasi, ‘Oh Manchester, is full of s***‘ ketika bas mereka memasuki stadium.
Sementara itu, Liverpool menerusi kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas bas pasukan lawan, seterusnya berjanji untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Kami sedia maklum rakaman insiden itu yang tersebar dalam talian dan sedang bekerjasama dengan Polis Merseyside untuk melakukan siasatan sepenuhnya, serta mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.
“Mana-mana individu yang didapati bersalah atas kelakuan tidak wajar itu juga akan berdepan hukuman proses sekatan kelab,” katanya.
Perlawanan antara dua seteru itu berkesudahan seri 0-0. Liverpool berada di tangga kedua liga manakala United di tempat ketujuh.