AJAIB! Itulah gambaran yang boleh diungkap terhadap seorang wanita yang berjaya melahirkan anak kembar pada usia 70 tahun.
Kejadian itu berlaku di Kampala, Uganda membabitkan seorang wanita, Safina Namukwaya yang secara rasmi menjadi wanita tertua di Benua Afrika melahirkan anak melalui rawatan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) atau luar rahim, lapor Daily Star.
Namukwaya selamat melahirkan sepasang anak kembar berlainan jantina dengan sihat di Hospital Wanita Pusat Antarabangsa dan Kesuburan di Kampala, Uganda.
Laporan sama turut menyatakan bahawa dia sebelum ini melahirkan seorang anak perempuan bernama Sarah pada 2020.
Meskipun dikurniakan dua zuriat baharu, Namukwaya berkongsi kisah duka yang dialami dirinya kerana ditinggalkan suami sebaik sahaja mengetahui kehamilannya itu.
“Lelaki tidak suka apabila anda mengandung lebih daripada seorang anak. Sejak saya dimasukkan ke hospital, pasangan saya tidak pernah muncul,” katanya kepada saluran berita NTV.