HomeGlobalWanita kantoi tipu umur, bimbang ditinggal kekasih muda

Wanita kantoi tipu umur, bimbang ditinggal kekasih muda

RANCANGAN sepasang kekasih untuk ke Jepun terbantut selepas ditahan di lapangan terbang Beijing, China baru-baru ini.

Penahanan itu dibuat selepas si wanita yang berusia 41  tahun menggunakan pasport palsu untuk melakukan penerbangan.

Lapor South China Morning Post, pemalsuan itu dilakukan bagi menyembunyikan usia sebenar kepada teman lelakinya yang berusia 24 tahun.

Pada mulanya, wanita yang dilahirkan pada tahun 1982 itu menimbulkan syak wasangka seorang pegawai imigresen, selepas menyedari bahawa maklumat pasportnya kelihatan berbeza.

Ketika pegawai itu sedang melakukan pemeriksaan dokumen perjalanannya, wanita tersebut kelihatan gelisah dan gugup.

Wanita itu cuba merampas pasportnya untuk menghalang pegawai berkenaan melakukan pemeriksaan lanjut, sebelum meminta untuk melakukan perbualan peribadi antara kedua-duanya.

Sementara itu, dia juga meminta teman lelakinya untuk terus melakukan pemeriksaan dokumen.

Hasil siasatan mendapati, wanita itu memegang dua pasport China dengan tarikh lahir berbeza.

Justeru, pihak berkuasa memutuskan bahawa wanita itu sudah melakukan penipuan menerusi butiran peribadi yang diubah.

Menurut wanita itu, perbuatan tersebut sengaja dilakukan bagi menyembunyikan usia sebenar, serta mengekalkan hubungan dengan teman lelaki yang berusia 17 tahun lebih muda daripadanya.

Berikutan khuatir usia sebenarnya bakal menjejaskan hubungan mereka, wanita itu sanggup membelanjakan sebanyak 6,500 yuan (RM4,294) untuk memalsukan pasportnya menerusi tahun kelahiran pada 1996.

Ketika disoal pegawai imigresen, wanita itu yang dilihat berasa bersalah dan kecewa berkata: “Saya hanya menukar umur saya.”

Wanita itu akhirnya didenda sebanyak 3,000 yuan (RM1,982) manakala pasport palsunya turut dirampas.

Menurut undang-undang di negara Tanah Besar itu, individu yang menggunakan dokumen palsu atau diubah boleh dikenakan hukuman penjara selama lima sehingga 10 hari dan denda sehingga 10,000 yuan (RM6,607).

Author

Pilihan Editor