HomeBeritaWanita maut pengsan ketika memandu di Kota Bharu

Wanita maut pengsan ketika memandu di Kota Bharu

KOTA BHARU: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim di sini, pada Rabu petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian jam 3.19 petang itu berlaku ketika mangsa memandu kereta jenis Perodua Myvi dari arah Jalan Zainal Abidin ke Jalan Sultan Ibrahim.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kenderaan mangsa bergerak secara perlahan ke Jalan Sultan Ibrahim tanpa berhenti ketika berada di simpang jalan.

“Mangsa ketika itu dipercayai tidak sedarkan diri dan kenderaannya terbabas ke arah pembahagi jalan. Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ke atas wanita itu.

“Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, untuk bedah siasat. Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu .

Mohd Rosdi meminta mana-mana individu yang melihat kejadian supaya tampil ke balai polis bagi membantu siasatan, selain tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Author

Pilihan Editor