KOTA BHARU: Mayat seorang peniaga kosmetik akhirnya ditemukan di pesisir pantai di Kuala Besar di sini, pada Ahad, selepas 14 hari dilaporkan hilang akibat terjatuh dari jambatan.
Jasad Norhisyam Ismail, 43, ditemukan kira-kira jam 6 petang oleh seorang pemancing yang ternampak objek seakan tubuh manusia terdampar di pesisir pantai.
Saksi kejadian, Mohd Faizal Ibrahim, 44, berkata, dia dihubungi rakannya yang meminta datang ke lokasi untuk memastikan objek yang dilihat sebelum bergegas ke lokasi iaitu di Pulau Kuda.
“Rakan saya ingin memancing dan mencari bekas di sekitar lokasi untuk membuang air dalam botnya sebelum ternampak objek seakan tubuh manusia.
“Dia segera menghubungi saya dan sebaik tiba, saya melihat lebih dekat dan sahkan memang objek itu adalah badan manusia yang tertiarap dan berpakaian lengkap.
“Keadaannya sudah membengkak serta agak berbau dan saya segera menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan penemuan mayat itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Turut berada di lokasi penemuan adalah ahli keluarga termasuk isteri mangsa, yang mengesahkan jasad itu adalah milik suaminya berdasarkan pengecaman pada tali pinggang dan seluar yang dipakai.
Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini untuk proses bedah siasat.
Dalam kejadian jam 6.48 petang pada 15 Januari lalu, Norhisyam dikatakan terjatuh ke Sungai Kelantan ketika berada di atas Jambatan Tendong, Pasir Mas dekat sini.
Mangsa alami tekanan perasaan
Sementara itu, isteri kepada mangsa, Nurhaida Zahari@Ghazali, 40, mendakwa, Norhisyam dilihat mengalami tekanan perasaan yang melampau tiga hari sebelum dia dilaporkan hilang.
Jelas Nurhaida, mangsa dipercayai tidak senang duduk dan amat tertekan, apabila ada pihak yang cuba menjatuhkannya daripada jawatan pengerusi sebuah persatuan peniaga pasar malam.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan arwah memendam perasaan dan tidak menceritakan masalah tersebut kepada ahli keluarganya.
“Ada beberapa masalah yang arwah hadapi, namun dia enggan bercerita. Apa yang saya tahu, dia memang tertekan apabila ada yang cuba merampas jawatannya itu sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada September depan.
“Dia juga menghidap masalah jantung. Jadi, banyak masalah yang difikirkannya sehingga dilihat memudaratkan kesihatan,” katanya seperti dilapor Kosmo!